Friday, March 11, 2016

Hidup perlu bermula

Kehidupan adalah satu anugerah dari Allah SWT. Tiada yang lebih bermakna selain pemberian yang Maha Esa.

Hidup ini penuh dengan perjalanan nya tersendiri. Alllah telah menjuruskan penghidupan abah yang Alhamdulillah pada penghidupan yang mudah. Walaupun hidup dalam serba kekurangan dari segi  wang ringgit atau harta benda, tetapi pengalaman hidup adalah pengalaman yang mudah untuk abah. Semuanya bermula dari niat yang baik dan iltizam yang tinggi. Ketahuilah anak anak anak, tanpa niat dan iltizam yang tinggi, kita hanyalah seorang pengembara yang sesat didunia ini.

Telah 50 tahun berlalu. Banyak perkara yang abah nak kongsikan dengan kalian. Kerana semua pengalaman ini akan jadi sia sia dan tiada dapat kalian pergunakan jika abah simpan untuk diri abah. Abah harap perceritaan abah pada beberapa hari yang mendatang ini akan dapat kalian menafaat untuk kehidupan kalian juga. Insyallah.

Bermula dengan kehidupan kecil yang serba kekurangan. Baju yang dipakai kebanyajan pakaian yang telah digunakan oleh orang lain. Kadang koyak dicelah kelangkang, abah akan jahit untuk abah gunakan. Pernah satu ketika, Mak Long kamu, mak Danial mengalami sakit perut yang melampau. Abah manghantar bersama ke Hospital Universiti, PJ. Apabila sampai disana baru abah sedar seluar yang abah pakai koyak besar di kelangkang. Malu rasanya tetapi itulah realiti kehidupan.

Pada masa kita serba kekurangan, kita tidak akan ada rasa hendak komplen. Kita akan lebih redha. Baju baru hanya dibeli pada musim raya sahaja. Itu pun dengan bantuan mak saudara yang lain. Alhamdulillah, suasana abah masa itu sentiasa bersyukur dengan apa yang ada. Tidak pernah ada rasa juga untuk meminta yang lebih. Duit belanja sekolah adalah 20sen ke 30sen semasa sekolah rendah dan 30 ringgit untuk sebulan semasa di sekolah menengah. Jika hendak beli apa apa yang istimewa, dari duit itulah abah kumpulkan.

Keistimewaan masa itu ialah mempunyai ibu yang sentiasa senang pada keadaan dan tidak pernah terdengar meminta lebih dari yang ada. Dia mampu mengadakan suasana yang menggembirakan pada setiap masa. Terima kasih mak.

Pada masa di sekolah menengah rendah, abah pernah menjaja kuih dan nasi lemak untuk membantu keluarga. Pergi dari rumah kerumah untuk setiap rumah pangsa bersebelahan kampung setinggan abah. Masa inilah ada duit lebih yang abah gunakan untuk ke perpustakaan negara. Pada masa itu berada di Jalan Raja Laut, KL. Abah akan pergi setiap sabtu. Lepaslah duit tambang dan minum pagi disana. Kebiasaannya kedai mamak abah akan makan roti canai dan minum fanta grape. Itu dah kira mewah. Dan abah puas kerana semuanya atas usaha abah sendiri. Kita puas bila kita mampu laksanakan hasil dari usaha kita sendiri. Abah belajar masa abah kecil. Usaha berdikari yang diterapkan dikalangan anak abah masa kini diharap dapat membuktikan perenggan ini. Bravo anak anak abah.