Sunday, July 31, 2016

Balasungkawa untuk atuk.

Telah 40 hari atuk meninggalkan kita.
Tenanglah atuk di sana.

Anak anak abah
Izinkan abah nukilkan satu epilog untuk atuk.

"Abah,

      telah sempurna perjalananmu didunia yang fana' ini,
      telah sempurna urusan mu untuk kami didunia ini,
      telah sempurna kegigihanmu memenuhi keperluan hidup kami selama ini.

      kami nampak usahamu yang tak mengenal erti letih membesarkan kami,
      kami lihat kegigihanmu pergi kerja sebelum berkumandang azan dinihari
      kami alami kejujuranmu menghantar kami kesekolah,
      semuanya kau lakukan tanpa ada kedengaran keluh kesah dari mulutmu.

      apabila ada peluang untuk menambah pendapatan,
      kau lakukan bersama.
      setelah penat bekerja, kau masih mampu membantu menyediakan bahan jualan.
      goreng pisang, karipap, nasi lemak dan beberapa jenis jualan yang lain dapat disediakan.
      malahan kau beri peluang pada kami untuk berjualan di rumah pangsa dan berek askar berdekatan.
      pengalaman inilah yang mengajar kami dengan realiti penghidupan.

      fokusmu pada pelajaran tidak pernah pudar dalam hidupmu.
      bukan hanya pada kami malahan pada anak cucumu.
      ianya menjadi budaya pada dirimu sehingga semuanya yang berjumpa denganmu akan diperingatkan.
      terimakasih abah kerana berkat keprihatinan mu, ianya juga menjadi penting dalam keluarga ini.
      terimakasih abah dan In Sha Allah akan terus along usahakan menjadi budaya zuriatmu yang bakal mendatang.

Abah,

      masih kuat dalam ingatan kami yang abah seorang yang tegas dan garang.
      tiada gurauan yang berlebih lebihan.
      kesempitan hidup semasa kami kecil menyebabkan abah lebih serius.
      tetapi 25 tahun masa selepas persaraan mu adalah satu anugerah Allah.
      abah dapat mendampingkan diri dengan anak cucumu.
      sesungguhnya anak anak along telah membesar dengan budayamu.
      ketahuilah ini adalah satu nikmat dari yang mana Esa.
     
Abah,

     sesungguhnya kau tidak pernah meminta balasan atas apa yang kau usahakan untuk kami
     malahan kami yang kurang dan kebanyakan masa tidak dapat memenuhi keperluan asas untukmu.
     maafkan kami abah, maafkan kami.
     kami hargai keprihatinanmu
     kami hargai kesabaranmu
     kami hargai hidup mu bersama kami.

    
Abah,

     DOA kami agar kau tenang disana
     bersama rahmat tuhan yang mana Esa
     semampu kami akan kami usahakan
     agar amalan mu berterusan sehingga hari kita dipertemukan disana.

      tenanglah abah disana"
     

Friday, March 11, 2016

Hidup perlu bermula

Kehidupan adalah satu anugerah dari Allah SWT. Tiada yang lebih bermakna selain pemberian yang Maha Esa.

Hidup ini penuh dengan perjalanan nya tersendiri. Alllah telah menjuruskan penghidupan abah yang Alhamdulillah pada penghidupan yang mudah. Walaupun hidup dalam serba kekurangan dari segi  wang ringgit atau harta benda, tetapi pengalaman hidup adalah pengalaman yang mudah untuk abah. Semuanya bermula dari niat yang baik dan iltizam yang tinggi. Ketahuilah anak anak anak, tanpa niat dan iltizam yang tinggi, kita hanyalah seorang pengembara yang sesat didunia ini.

Telah 50 tahun berlalu. Banyak perkara yang abah nak kongsikan dengan kalian. Kerana semua pengalaman ini akan jadi sia sia dan tiada dapat kalian pergunakan jika abah simpan untuk diri abah. Abah harap perceritaan abah pada beberapa hari yang mendatang ini akan dapat kalian menafaat untuk kehidupan kalian juga. Insyallah.

Bermula dengan kehidupan kecil yang serba kekurangan. Baju yang dipakai kebanyajan pakaian yang telah digunakan oleh orang lain. Kadang koyak dicelah kelangkang, abah akan jahit untuk abah gunakan. Pernah satu ketika, Mak Long kamu, mak Danial mengalami sakit perut yang melampau. Abah manghantar bersama ke Hospital Universiti, PJ. Apabila sampai disana baru abah sedar seluar yang abah pakai koyak besar di kelangkang. Malu rasanya tetapi itulah realiti kehidupan.

Pada masa kita serba kekurangan, kita tidak akan ada rasa hendak komplen. Kita akan lebih redha. Baju baru hanya dibeli pada musim raya sahaja. Itu pun dengan bantuan mak saudara yang lain. Alhamdulillah, suasana abah masa itu sentiasa bersyukur dengan apa yang ada. Tidak pernah ada rasa juga untuk meminta yang lebih. Duit belanja sekolah adalah 20sen ke 30sen semasa sekolah rendah dan 30 ringgit untuk sebulan semasa di sekolah menengah. Jika hendak beli apa apa yang istimewa, dari duit itulah abah kumpulkan.

Keistimewaan masa itu ialah mempunyai ibu yang sentiasa senang pada keadaan dan tidak pernah terdengar meminta lebih dari yang ada. Dia mampu mengadakan suasana yang menggembirakan pada setiap masa. Terima kasih mak.

Pada masa di sekolah menengah rendah, abah pernah menjaja kuih dan nasi lemak untuk membantu keluarga. Pergi dari rumah kerumah untuk setiap rumah pangsa bersebelahan kampung setinggan abah. Masa inilah ada duit lebih yang abah gunakan untuk ke perpustakaan negara. Pada masa itu berada di Jalan Raja Laut, KL. Abah akan pergi setiap sabtu. Lepaslah duit tambang dan minum pagi disana. Kebiasaannya kedai mamak abah akan makan roti canai dan minum fanta grape. Itu dah kira mewah. Dan abah puas kerana semuanya atas usaha abah sendiri. Kita puas bila kita mampu laksanakan hasil dari usaha kita sendiri. Abah belajar masa abah kecil. Usaha berdikari yang diterapkan dikalangan anak abah masa kini diharap dapat membuktikan perenggan ini. Bravo anak anak abah.