Monday, February 20, 2012

Pendapatan

Anak Anak Abah;

Pendapatan boleh dibahagikan kepada tiga perkara; makan gaji, pendapatan pasif dan perniagaan. Dalam hidup kita, kita akan hidup dengan satu atau dua punca pendapatan diatas. Ada yang hidup dengan makan gaji sahaja. Ada yang hidup dengan makan gaji dan pendapatan pasif. Dan ada juga yang hidup dengan melakukan ketiga tiga perkara diatas. Tetapi ketahuilah bahawa pendapatan dari perniagaanlah yang paling menguntungkan. Walaupun kita nampak yang ianya berisiko tinggi, ketahuilah bahawa ianya adalah pendapatan yang paling "rewarding" (keberhasilan). Sebab itu ada dikatakan bahawa punca rezeki itu 9/10 adalah dari pendapatan perniaagaan.

Anak Anak Abah;

Ketahuilah, abah pergi kesekolah, kolej dan universiti berusaha untuk menjadi seorang peniaga. Tetapi pada masa kini tersekat pada kaedah pendapatan makan gaji. Begitu juga kebanyakan orang diluar sana, mereka berusaha, belajar bersungguh sungguh hanya untuk mendapatkan segelung sijil agar dapat meminta kepada orang lain pekerjaan untuk makan gaji. Kenapa perkara ini berlaku? Ianya berpunca dari anggapan bahawa makan gaji itu memberi penghidupan yang selesa. Dapat gaji tiap bulan, pergi klinik dan hospital tak payah bayar, ada slip gaji untuk buat pinjaman dan mengumpul hutang dan perkara perkara lain yang nampak selesa. Ketahuilah, kesemua keselesaan tersebut semakin terhakis. Semakin banyak syarikat tak kira kecil dan besar telah menghadkan penggunaan bantuan perubatan. Gaji yang diterima semakin menguncup dan harga barangan semakin meningkat. Akhirnya, orang yang makan gaji ini akan sentiasa dalam hutang dan pengharapan untuk hidup selesa. Setelah bersara, mereka menjadi risau kerana duit KWSP yang disimpan puluhan tahun itu semakin hari semakin menguncup dan tidak mampu menampung hidup yang lebih lama.

Anak Anak Abah,

Oleh kerana pendapatan makan gaji adalah tawaran yang ada dihadapan kita, maka kita harus terus kan usaha untuk mendapatkan yang terbaik. Belajarlah atas apa yang kalian usahakan agar kalian berjaya dan mendapatkan pekerjaan yang diimpikan.

Tetapi kita jangan berhenti disitu. Dalam makan gaji, kita kena belajar untuk mendapatkan pendapatan dari punca pendapatan yang lain. Teruskan bekerja dengan niat mempertingkatkan pengetahuan dan pengalaman. Cari peluang untuk mempertingkatkan skill diri kita sendiri. Banyakan membaca untuk mendapat pengetahuan bagaiman untuk mendapatkan pendapatan pasif atau lebih baik lagi melalui perniaagaan. Kita tidak boleh selesa untuk makan gaji sahaja kerana ianya tidak menjanjikan hidup yang selesa dikemudian hari. Kita kena berusaha melibatkan diri dalam pendapatan pasif dan perniaagaan.

Anak Anak Abah;

Apakah itu pendapatan pasif? Ianya adalah pendapatan yang mengalir dalam akaun kita walaupun kita sedang melakukan perkara yang lain. Pendapatan yang terhasil walaupun kita dalam keadaan tidur. Pendapatan ini abah boleh kategorikan kepada tiga jenis pendapatan pasif; keuntungan dari pasaran saham, keuntungan dari unit saham amanah dan keuntungan dari pelaburan tanah atau perumahan. Pendapatan pasif ini perlukan ilmu pengetahuan. Ramai yang rugi dalam pasaran saham kerana mereka tidak pernah membaca strategi orang orang yang berjaya dalam pasaran saham. Ramai tidak dapat hasil yang tinggi dari unit amanah saham kerana mereka tidak tahu macamana nak kaut keuntungan dari pelaburan itu. Begitu juga pelaburan pada hartanah sepatutnya memberi pulangan bulanan yang positif tetapi tidak dapat dimenafaatkan. Bayang jika kita beli rumah dan buat bayaran RM800 ke bank tetapi disewa pada harga RM1200 sudah tentu keuntungan bulanannya RM400. Tetapi kita kena ada ilmu bagaimana hendak bertindak. Jadi, abah nasihatkan pada anak anak abah banyakkan pembacaan bagaimana kita mampu menghasilkan pendapatan pasif ini. Dengan pendapatan pasif inilah juga kita akan mampu untuk bersara awal dari pekerjaan melalui pendapatan makan gaji.

Anak Anak Abah;

Jadikan matlamat pada sanubari kamu untuk berkecimpung dalam perniagaan. Perniagaan walaupun nampak berrisiko, ianya akan memberi pendapatan yang berterusan. Ketahuilah, bahawa dalam apa sahaja kita buat, ada masalahnya. Bagitu juga dalam perniaagaan. Ianya juga akan ada masalah. Tetapi dengan usaha yang berterusan, Inshaallah, perniagaan akan beri kita pendapatan yang berterusan dan memuaskan. Ketahuilah, ramai dikalangan orang yang berjaya adalah dari mereka yang berniaga. Kita boleh lihat perkara ini disekitar kita.

Didalam perniagaan ada dua asas ilmu yang perlu kamu dalami; CASH FLOW (PENGURUSAN TUNAI) dan BALANCE SHEET. Abah minta anak anak abah cuba pelajari kedua dua ilmu ini kerana ianya adalah asas perniaagaan.

Anak anak abah;

Ini adalah punca punca pendapatan untuk kita teruskan penghidupan ini. Kita mungkin kena mulakan dengan makan gaji, tetapi tetapkanlah niat kalian untuk berniaga. Semasa kamu belajar inilah kamu kena tingkatkan ilmu untuk bertindak dalam mendapatkan pendapatan yang lain juga.

Ketahuilah, semasa abah ambil Ijazah Kejuteraan di Australia dulu, abah juga ambil modul Pengurusan Perniagaan (Business Administration), Accounting, Undang Undang Perniagaan (Business Laws) dan Ekonomi (Economics). Memang telah ada niat untuk berkecimpung untuk bidang tersebut. Doakanlah abah mampu melakukannya dalam masa terdekat. Dalam pada itu, semasa kamu belajar ini, jika ada peluang, cuba tingkatkan pengetahuan pada asas asas peniagaan.

Monday, February 13, 2012

Persevere / Istiqamah

Anak Anak Abah;

Oxford Dictionary mengatakan "continue in a course of action in spite of difficulty or lack of success". Dengan lain perkataan, kita akan terus lakukan perkara tersebut walaupun kita hadapi banyak rintangan dan kegagalan. Ianya adalah sifat yang perlu ada pada diri kita semua untuk kita lebih berjaya.

Anak Anak Abah;

Dalam bahasa Arab, ianya dinamakan Istiqamah. Kita akan terus lakukan ibadat tersebut walaupun banyak halangan. Sebagai contoh, seseorang itu terus melakukan ibadat sembahyang secara berjemaah walaupun banyak perkara yang menghalang kerana dia tahu bahawa sembahyang secara berjemaah itu 27 kali lebih baik dari sembahyang sendirian.

Anak Anak Abah;

Kenapa kita perlu bina sifat ini? Sifat ini bakal membentuk jatidiri untuk kita berjaya. Ianya adalah asas kepada semua kejayaan. Kita akan teruskan apa sahaja yang kita usaha (yang kita buat)sehingga berjaya. Tidak kira samada orang suka ataupun tidak. Tidak kira apa orang akan kata. Yang penting adalah kejayaan pada usaha tersebut. Tidak kira jika usaha kita itu belum membuahkan hasil yang kita hendakkan, malah kita akan terus berusaha. Walaupun, pada masa masa tertentu kita menghadapi kegagalan sementara, kita akan terus usahakan sehinggalah membuahkan hasil yang kita wacanakan.

Anak Anak Abah;

Apa yang hendak kita usahakan? Ini terletak pada matlamat kita pada satu satu masa tertentu. Contohnya, matlamat Afif di Pasir Gudang adalah untuk mendapatkan SKM1 & 2. Afif akan berusaha mendapatkannya walaupun apa sahaja halangan yang timbul dari guru, kawan kawan dan apa sahaja. Usaha tetap diteruskan sehingga berjaya. Begitu juga Ariff; matlamat ke MIAT adalah untuk License Aircraft Engineer. Tumpuan harus diberi kearah itu walaupun Ariff perlu menghabiskan Ijazah Teknologi Kapalterbang. Dengan fokus yang jitu, inshaallah kita akan berjaya. Begitu juga Aiman; kena ada matlamat nak jadi apa. Beri tumpuan dari sekarang dan Inshaallah dalam SPM, Aiman akan mampu melakukannya. Walaupun ada halangan atau kesusahan seperti tak cukup duit, tak cukup masa dan lain lain, Aiman akan terus memberi tumpuan untuk berjaya.

JADI KITA KENA ADA MATLAMAT YANG POSITIF DAN TERUS USAHA SECARA ISTIQAMAH. Bill Gates tidak meletakkan kegagalan dia tidak dapat Ijazah sebagai kegagalan berterusan. Tetapi dia meletakkan matlamat agar setiap isi rumah bakal mampu memiliki komputer menyebabkan dia menjadi orang yang berjaya. Tony Fernandez tidak meletakkan kekecewaan tidak dapat pulang ke Malaysia setiap tahun semasa di sekolah menengah di England sebagai kegagalan. Tetapi dia menggunakannya untuk membina semangat dari kekecewaan itu dengan motto "Everyone Can Flies" dan terhasillah Air Asia.

Anak Anak Abah;

Apa yang penting sekarang adalah untuk kalian meletakkan matlamat apa yang kalian hendak buat untuk hidup. Tekadkan azam dan tulis matlamat itu pada kertas atau atas benda yang mudah untuk kita lihat. Buat pelan untuk mencapai matlamat tersebut. Yang penting, kita suka pada apa matlamat kita itu. KITA KENA BUAT PERKARA YANG KITA SUKA DAN IANYA ADALAH MATLAMAT YANG POSITIF. Mungkin usaha bermula dari perkara yang kecil kecil dan teruskan usaha sehingga matlamat itu tercapai.

Anak Anak Abah;

Sebagai permulaan, kita mulakan dengan perkara perkara yang kecil dulu dan kita buatkannya sebagai tabiat. Bina satu tabiat kepada tabiat yang lain. Kita kena rajin untuk membina tabiat tabiat tersebut. Sebagai contoh, sayangkan barang sendiri, kemaskan barang dan bilik sendiri agar sedap mata kita memandang. Tentukan basuh kasut sekolah setiap hari sabtu. Sediakan pakaian untuk sekolah pada malam sebelum hari sekolah dan lain lain lagi. Bila kita istiqamah melakukan perkara perkara kecil ini, Inshallah, perkara yang lebih besar akan kita capai dengan lebih mudah lagi.

Sunday, February 12, 2012

DUIT

Anak Anak Abah;

Kita kena mulakan pemahaman tentang pengurusan kewangan pada usia muda. Pada usia bila kamu mula mengenali apa itu duit. Kerana duit memberi kesan kepada kehidupan harian kita.

Anak Anak Abah;

Perkara pertama yang kita kena tanamkan dalam diri ialah kita hendak mempunyai banyak duit. Kerana bila kita ada banyak duit, hidup kita akan menjadi lebih selesa. Kita perlu sayangkan duit yang ada pada kita. Dengan kita menyayangi duit, kita akan lebih berfikir bagaimana hendak menggunakan duit tersebut. Kita akan menggunakan duit itu hanya untuk memenuhi keperluan. Kita tidak akan mudah menghabiskan duit untuk beli top-up yang digunakan untuk berbual kosong dengan kawan kawan.

Anak Anak Abah;

Untuk mempunyai banyak duit, kita kena mulakan dengan menyimpan. Kita kena cuba simpan sebanyak mana duit yang kita dapat dalam tempat yang selamat seperti Bank dan Tabung Haji. Kita kena mula menabung.

Walaubagaimanapun, duit juga perlu digunakan untuk makan, minum dan pakaian. Jangan dengan ada duit kita lapar. Kita kena makan dan minum. Tetapi tentang pakaian, beli yang mana perlu sahaja. Tak perlu pada jenama yang ada di Times Square tetapi pada pakaian yang biasa yang menutup aurat kita.

Anak Anak Abah;

Bila kita mempunyai banyak duit yang disimpan, kita mempunyai harta. Duit dalam simpanan adalah harta. Dengan harta, kita akan mampu untuk penghidupan yang selesa. Lihat pada hidup orang yang tidak mempunyai harta, mereka akan sentiasa meminta minta. Mereka akan sentiasa dipandang hina. Tetapi lihat pada mereka yang mempunyai harta, mereka akan sentiasa dipandang tinggi, seperti Bills Gates, Steve Jobs dan Syed Mokhtar Al Bukhari.

Anak Anak Abah;

Bagaimana orang orang ini berjaya menyimpan harta? Bagaimana mereka dapat menyimpan banyak duit? Ianya bermula dari sifat; sifat menyimpan duit. Pendapatan yang tinggi tidak menjanjikan orang itu menjadi orang yang berharta. Kerana ramai orang yang berpendapatan tinggi hidup dalam hutang dan gundah gulana. Pada masa yang sama, ada orang yang berpendapatan rendah yang mempunyai harta kerana mereka mampu menyimpan sebahagian pendapatan mereka dan rasa gembira.

BUKAN PENDAPATAN TINGGI ATAU RENDAH MENENTUKAN SESEORANG ITU BERHARTA, TETAPI SIFAT MENYIMPAN SEBAHAGIAN DARI APA YANG KITA ADA AKAN MENENTUKAN KITA ADALAH ORANG YANG BERHARTA.