Anak Anak Abah;
Oxford Dictionary mengatakan "continue in a course of action in spite of difficulty or lack of success". Dengan lain perkataan, kita akan terus lakukan perkara tersebut walaupun kita hadapi banyak rintangan dan kegagalan. Ianya adalah sifat yang perlu ada pada diri kita semua untuk kita lebih berjaya.
Anak Anak Abah;
Dalam bahasa Arab, ianya dinamakan Istiqamah. Kita akan terus lakukan ibadat tersebut walaupun banyak halangan. Sebagai contoh, seseorang itu terus melakukan ibadat sembahyang secara berjemaah walaupun banyak perkara yang menghalang kerana dia tahu bahawa sembahyang secara berjemaah itu 27 kali lebih baik dari sembahyang sendirian.
Anak Anak Abah;
Kenapa kita perlu bina sifat ini? Sifat ini bakal membentuk jatidiri untuk kita berjaya. Ianya adalah asas kepada semua kejayaan. Kita akan teruskan apa sahaja yang kita usaha (yang kita buat)sehingga berjaya. Tidak kira samada orang suka ataupun tidak. Tidak kira apa orang akan kata. Yang penting adalah kejayaan pada usaha tersebut. Tidak kira jika usaha kita itu belum membuahkan hasil yang kita hendakkan, malah kita akan terus berusaha. Walaupun, pada masa masa tertentu kita menghadapi kegagalan sementara, kita akan terus usahakan sehinggalah membuahkan hasil yang kita wacanakan.
Anak Anak Abah;
Apa yang hendak kita usahakan? Ini terletak pada matlamat kita pada satu satu masa tertentu. Contohnya, matlamat Afif di Pasir Gudang adalah untuk mendapatkan SKM1 & 2. Afif akan berusaha mendapatkannya walaupun apa sahaja halangan yang timbul dari guru, kawan kawan dan apa sahaja. Usaha tetap diteruskan sehingga berjaya. Begitu juga Ariff; matlamat ke MIAT adalah untuk License Aircraft Engineer. Tumpuan harus diberi kearah itu walaupun Ariff perlu menghabiskan Ijazah Teknologi Kapalterbang. Dengan fokus yang jitu, inshaallah kita akan berjaya. Begitu juga Aiman; kena ada matlamat nak jadi apa. Beri tumpuan dari sekarang dan Inshaallah dalam SPM, Aiman akan mampu melakukannya. Walaupun ada halangan atau kesusahan seperti tak cukup duit, tak cukup masa dan lain lain, Aiman akan terus memberi tumpuan untuk berjaya.
JADI KITA KENA ADA MATLAMAT YANG POSITIF DAN TERUS USAHA SECARA ISTIQAMAH. Bill Gates tidak meletakkan kegagalan dia tidak dapat Ijazah sebagai kegagalan berterusan. Tetapi dia meletakkan matlamat agar setiap isi rumah bakal mampu memiliki komputer menyebabkan dia menjadi orang yang berjaya. Tony Fernandez tidak meletakkan kekecewaan tidak dapat pulang ke Malaysia setiap tahun semasa di sekolah menengah di England sebagai kegagalan. Tetapi dia menggunakannya untuk membina semangat dari kekecewaan itu dengan motto "Everyone Can Flies" dan terhasillah Air Asia.
Anak Anak Abah;
Apa yang penting sekarang adalah untuk kalian meletakkan matlamat apa yang kalian hendak buat untuk hidup. Tekadkan azam dan tulis matlamat itu pada kertas atau atas benda yang mudah untuk kita lihat. Buat pelan untuk mencapai matlamat tersebut. Yang penting, kita suka pada apa matlamat kita itu. KITA KENA BUAT PERKARA YANG KITA SUKA DAN IANYA ADALAH MATLAMAT YANG POSITIF. Mungkin usaha bermula dari perkara yang kecil kecil dan teruskan usaha sehingga matlamat itu tercapai.
Anak Anak Abah;
Sebagai permulaan, kita mulakan dengan perkara perkara yang kecil dulu dan kita buatkannya sebagai tabiat. Bina satu tabiat kepada tabiat yang lain. Kita kena rajin untuk membina tabiat tabiat tersebut. Sebagai contoh, sayangkan barang sendiri, kemaskan barang dan bilik sendiri agar sedap mata kita memandang. Tentukan basuh kasut sekolah setiap hari sabtu. Sediakan pakaian untuk sekolah pada malam sebelum hari sekolah dan lain lain lagi. Bila kita istiqamah melakukan perkara perkara kecil ini, Inshallah, perkara yang lebih besar akan kita capai dengan lebih mudah lagi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment