Monday, February 20, 2012

Pendapatan

Anak Anak Abah;

Pendapatan boleh dibahagikan kepada tiga perkara; makan gaji, pendapatan pasif dan perniagaan. Dalam hidup kita, kita akan hidup dengan satu atau dua punca pendapatan diatas. Ada yang hidup dengan makan gaji sahaja. Ada yang hidup dengan makan gaji dan pendapatan pasif. Dan ada juga yang hidup dengan melakukan ketiga tiga perkara diatas. Tetapi ketahuilah bahawa pendapatan dari perniagaanlah yang paling menguntungkan. Walaupun kita nampak yang ianya berisiko tinggi, ketahuilah bahawa ianya adalah pendapatan yang paling "rewarding" (keberhasilan). Sebab itu ada dikatakan bahawa punca rezeki itu 9/10 adalah dari pendapatan perniaagaan.

Anak Anak Abah;

Ketahuilah, abah pergi kesekolah, kolej dan universiti berusaha untuk menjadi seorang peniaga. Tetapi pada masa kini tersekat pada kaedah pendapatan makan gaji. Begitu juga kebanyakan orang diluar sana, mereka berusaha, belajar bersungguh sungguh hanya untuk mendapatkan segelung sijil agar dapat meminta kepada orang lain pekerjaan untuk makan gaji. Kenapa perkara ini berlaku? Ianya berpunca dari anggapan bahawa makan gaji itu memberi penghidupan yang selesa. Dapat gaji tiap bulan, pergi klinik dan hospital tak payah bayar, ada slip gaji untuk buat pinjaman dan mengumpul hutang dan perkara perkara lain yang nampak selesa. Ketahuilah, kesemua keselesaan tersebut semakin terhakis. Semakin banyak syarikat tak kira kecil dan besar telah menghadkan penggunaan bantuan perubatan. Gaji yang diterima semakin menguncup dan harga barangan semakin meningkat. Akhirnya, orang yang makan gaji ini akan sentiasa dalam hutang dan pengharapan untuk hidup selesa. Setelah bersara, mereka menjadi risau kerana duit KWSP yang disimpan puluhan tahun itu semakin hari semakin menguncup dan tidak mampu menampung hidup yang lebih lama.

Anak Anak Abah,

Oleh kerana pendapatan makan gaji adalah tawaran yang ada dihadapan kita, maka kita harus terus kan usaha untuk mendapatkan yang terbaik. Belajarlah atas apa yang kalian usahakan agar kalian berjaya dan mendapatkan pekerjaan yang diimpikan.

Tetapi kita jangan berhenti disitu. Dalam makan gaji, kita kena belajar untuk mendapatkan pendapatan dari punca pendapatan yang lain. Teruskan bekerja dengan niat mempertingkatkan pengetahuan dan pengalaman. Cari peluang untuk mempertingkatkan skill diri kita sendiri. Banyakan membaca untuk mendapat pengetahuan bagaiman untuk mendapatkan pendapatan pasif atau lebih baik lagi melalui perniaagaan. Kita tidak boleh selesa untuk makan gaji sahaja kerana ianya tidak menjanjikan hidup yang selesa dikemudian hari. Kita kena berusaha melibatkan diri dalam pendapatan pasif dan perniaagaan.

Anak Anak Abah;

Apakah itu pendapatan pasif? Ianya adalah pendapatan yang mengalir dalam akaun kita walaupun kita sedang melakukan perkara yang lain. Pendapatan yang terhasil walaupun kita dalam keadaan tidur. Pendapatan ini abah boleh kategorikan kepada tiga jenis pendapatan pasif; keuntungan dari pasaran saham, keuntungan dari unit saham amanah dan keuntungan dari pelaburan tanah atau perumahan. Pendapatan pasif ini perlukan ilmu pengetahuan. Ramai yang rugi dalam pasaran saham kerana mereka tidak pernah membaca strategi orang orang yang berjaya dalam pasaran saham. Ramai tidak dapat hasil yang tinggi dari unit amanah saham kerana mereka tidak tahu macamana nak kaut keuntungan dari pelaburan itu. Begitu juga pelaburan pada hartanah sepatutnya memberi pulangan bulanan yang positif tetapi tidak dapat dimenafaatkan. Bayang jika kita beli rumah dan buat bayaran RM800 ke bank tetapi disewa pada harga RM1200 sudah tentu keuntungan bulanannya RM400. Tetapi kita kena ada ilmu bagaimana hendak bertindak. Jadi, abah nasihatkan pada anak anak abah banyakkan pembacaan bagaimana kita mampu menghasilkan pendapatan pasif ini. Dengan pendapatan pasif inilah juga kita akan mampu untuk bersara awal dari pekerjaan melalui pendapatan makan gaji.

Anak Anak Abah;

Jadikan matlamat pada sanubari kamu untuk berkecimpung dalam perniagaan. Perniagaan walaupun nampak berrisiko, ianya akan memberi pendapatan yang berterusan. Ketahuilah, bahawa dalam apa sahaja kita buat, ada masalahnya. Bagitu juga dalam perniaagaan. Ianya juga akan ada masalah. Tetapi dengan usaha yang berterusan, Inshaallah, perniagaan akan beri kita pendapatan yang berterusan dan memuaskan. Ketahuilah, ramai dikalangan orang yang berjaya adalah dari mereka yang berniaga. Kita boleh lihat perkara ini disekitar kita.

Didalam perniagaan ada dua asas ilmu yang perlu kamu dalami; CASH FLOW (PENGURUSAN TUNAI) dan BALANCE SHEET. Abah minta anak anak abah cuba pelajari kedua dua ilmu ini kerana ianya adalah asas perniaagaan.

Anak anak abah;

Ini adalah punca punca pendapatan untuk kita teruskan penghidupan ini. Kita mungkin kena mulakan dengan makan gaji, tetapi tetapkanlah niat kalian untuk berniaga. Semasa kamu belajar inilah kamu kena tingkatkan ilmu untuk bertindak dalam mendapatkan pendapatan yang lain juga.

Ketahuilah, semasa abah ambil Ijazah Kejuteraan di Australia dulu, abah juga ambil modul Pengurusan Perniagaan (Business Administration), Accounting, Undang Undang Perniagaan (Business Laws) dan Ekonomi (Economics). Memang telah ada niat untuk berkecimpung untuk bidang tersebut. Doakanlah abah mampu melakukannya dalam masa terdekat. Dalam pada itu, semasa kamu belajar ini, jika ada peluang, cuba tingkatkan pengetahuan pada asas asas peniagaan.

No comments:

Post a Comment