Saturday, September 15, 2012

Kita Ada Matlamat

Kekecewaan itu datang dengan sendirinya;
Kita tidak minta; Kita tidak rancang; Kita tidak berkehendakannya.

Bukan kekecewaan yang menjadi punca
Bukan kekecewaan isu yang yang utama
Tetapi perkara yang membawa kita kepada kekecewaan itu yang menjadi punca

Bila Abah lihat persekitaran abah;
Ada kawan kawan yang berada dipuncak tangga korporat, Abah masih biasa biasa sahaja;
Ada kawan kawan yang berjaya dalam perniagaan, Abah masih belum memulakannya;
Ada kawan kawan yang telah mampu menggerakkan masyarakat, Abah masih lagi perlu beri penumpuan kepada keperluan peribadi dan keluarga sahaja;
Abah ditahap yang paling rendah pada masa ini; ini telah menimbulkan sedikit kekecewaan pada diri abah.

Apa yang abah mimpikan masih belum terserlah
Banyak perkara yang perlu lagi lakukan
Banyak perkara lagi yang perlu abah rancangkan
Banyak perkara lagi yang perlu abah usahakan
Kekecewaan ini perlu pergi.

Apabila abah perhatikan kenapa perkara berlaku seadanya; Semuanya berpunca dari asas matlamat kita.

Apabila kita ada matlamat dan komited untuk mencapai matlamat itu, Insyaallah kita akan berjaya mendapatkannya.
Percayalah "Jika kita tetapkan matlamat kita; dan letak 100% komitmen dalam sanubari (fikiran kita) untuk mendapatkannya; action atau perancangan untuk memenuhi matlamat tersebut akan datang dengan sendirinya"

Bagaimana kita tentukan matlamat kita?
Kita kena tuliskannya; matlamat untuk tahun ini; matlamat untuk lima tahun akan datang; matlamat untuk 15 tahun akan datang; tuliskannya diatas kertas dan tentukan ianya nampak pada mata kita setiap hari.

Untuk abah bahagikan kehidupan abah kepada tiga bahagian;
  1. 25 tahun untuk belajar
  2. 20 tahun untuk pembinaan keluarga
  3. 20 tahun untuk memenuhi impian
Dari lahir sehingga umur 25 tahun abah tetapkan untuk belajar untuk hidup. Abah belajar apa yang diajar disekolah dan disurau. Yang penting abah belajar. Itu adalah matlamat. Abah belajar tentang penghidupan orang orang lain. Abah selalu ke surau untuk mendekatkan kita abah pada yang Maha Esa. Masa di menengah rendah, Ting 1 hingga 3, abah sentiasa duduk disurau; terutama selepas subuh sehingga terbit matahari. Abah sentiasa belajar dari syarahan agama disurau atau disurau surau yang berdekatan. Abah melibatkan diri abah dengan Tabligh juga untuk belajar membaiki diri abah untuk dengan dengannya. Hatta ke India, Pakistan dan Bangadesh untuk mempelajari perkara tersebut. Abah terus memberi yang terbaik untuk pelajaran abah, terbaik untuk pengetahuan agama abah dan terbaik untuk membina peribadi atau akhlak diri abah ini. Alhamdulillah, abah dapat kesan yang terbaik darinya.

Sebab itu abah amat menekankan pada anak anak abah untuk perkara ini. Masa remajamu adalah masa yang terbaik untuk belajar. Belajar untuk pekerjaanmu dan belajar untuk membina keperibadianmu. Kerana apabila telah memulakan keluarga, ianya adalah masa untuk mempraktiknya sahaja. Kurang masa untuk kita belajar lagi.

20 tahun yang kedua adalah untuk kamu semua. Abah beri tumpuan untuk pembinaan keluarga. Abah hendak rapat dengan kamu semua. Abah korbankan banyak perkara yang abah  ingin lakukan. Kerana apa, apa yang penting adalah kamu semua rapat dengan abah. Agar kamu semua tahu bahawa abah yang kamu ada adalah abah yang bersedia untuk membantu kamu membina kehidupan kamu. Agar tiada tembok yang memisahkan kita. Abah tentukan abah tidak sibuk untuk kamu. Pencapaian kepada matlamat ini ada kesannya walaupun tidak 100%. Itu untuk kamu menilai.

Untuk 20 tahun yang akan datang ini adalah masa untuk abah memenuhi impian hidup abah. Abah mungkin menjadi lebih sibuk sedikit. Sebenarnya abah dah terlewat 3 tahun sekarang. Sepatutnya pada usia 45 tahun, abah menghampiri 48 tahun sekarang. Ada sedikit kecewa tapi abah tak boleh membiarkannya mengganggu apa yang abah nak capai.

Perkara yang abah ingin lakukan;
  1. terlibat secara aktif dalam perniagaan. Masa dan tumpuan memerlukan abah meletakkan komitmen yang tinggi. Abah akan memulakan dari bawah, dari asas. Oleh itu, banyak masa yang diperlukan. Abah sentiasa berdoa agar ianya meniggalkan kesan yang positif pada keluarga kita. Harap harap anak abah akan memahaminya. Sebab itu, apabila kesibukan mama itu tidak abah tegur kerana ianya asas pembelajaran kepada kesibukan ini. Harapan abah kamu semua berfikiran positif dan sentiasa menceriakan keadaan walau apapun rintangan atau kesusahan yang timbul. Abah perlukan sokongan kamu.
  2. bersantai bersama keluarga. kita akan tetapkan masa setiap tahun atau 6 bulan untuk pergi bersantai bersama. Kita akan rehat dan berbincang secara terbuka bersama. Seperti kita pergi ke Singapura. Kita perlu buat secara terancang. Abah memerlukan kamu untuk merancangkannya dan kita akan spend that sweet time together.
  3. mendapatkan PhD. Ini adalah untuk diri abah. Abah ingin mencapai bukan untuk wang atau pangkat tetapi untuk belajar ketahap yang tertinggi dalam pembelajaran abah. Inshaallah, jika masa membenarkan, abah akan teruskan perkara ini.

OLEH ITU ANAK ANAK ABAH;

Abah tidak mahu kamu hilang punca arah dalam kehidupan ini. Rancanglah untuk penghidupan kamu. Keluarkanlah pen atau pensil sekarang untuk merancang penghidupan kamu. Tuliskan matlamat mu untuk tahun ini (perancangan setahun). Kena tahu apa yang akan berlaku untuk setahun. Contoh, untuk Aiman, dia ada SPM dalam bulan Nov. Selepas itu apa. Bila akan masuk Asasi atau Matrix. Rancanglah untuk setahun. Jangan biar rancangan itu dalam fikiran sahaja tapi tulislah ia diatas kertas.

Kemudian tulis diatas kertas semua impian yang kamu hendak dalam hidup ini. Tulis. Contoh, Impikan rumah banglo ditepi pantai.. Tuliskan besar besar. Seperti yang abah mimpikan dibawah;

Yang penting kita ada matlamat dalam hidup.








No comments:

Post a Comment